‘Warkah’ Ketengah Isu Keselamatan Sosial

Bermula daripada kiriman sepucuk surat oleh seorang remaja kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed, maka tercetuslah idea dan inspirasi untuk menghasilkan sebuah filem yang bertajuk ‘Warkah’.

Melalui coretan surat itu, remaja tersebut telah menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas bantuan dan jasa baik PERKESO dalam membantu kehidupan keluarganya hingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajarannya.

Diadaptasi daripada kisah benar, filem arahan Opie Zami itu mengetengahkan pelakon cilik baharu, Rayyana Rayqa, 5 tahun, yang memegang watak Hana, anak bongsu kepada Kamil (lakonan Namron).

Lakonan pelakon cilik itu pastinya bakal meruntun jiwa penonton dalam filem yang mengetengahkan banyak pengajaran dan nilai murni itu.

Diterbitkan oleh Mohammed Azman sendiri, Warkah mengingatkan penonton supaya sentiasa tabah dan berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik biarpun ditimpa musibah.

Selain itu, paparan amalan cara kerja yang selamat dan sihat dalam apa jua keadaan dalam filem tersebut turut dapat dijadikan pengajaran dan dipraktikkan, seterusnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian para penonton.

Filem Warkah berkisarkan tentang kehidupan sebenar seorang remaja, Ikmal (lakonan Wafiy Ilhan), pelajar cemerlang yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan.

Ketika saat menghampiri ambang peperiksaan, ayahnya, Kamil (lakonan Namron) ditimpa kemalangan yang mengakibatkan dia lumpuh seluruh badan.

Dari saat itu, Ikmal mula bergelut dengan cabaran kehidupan serta dibelenggu dengan dilema antara konflik keluarga dan masa depannya.

Namun, kehadiran Cikgu Nur (lakonan Isyariana) membawa harapan baharu dalam hidupnya.

Apakah akan berlaku seterusnya kepada Ikmal sekeluarga dan siapakah sebenarnya Cikgu Nur?

Filem yang turut dilakonkan oleh Syazwan Zulkifli itu turut mengetengahkan lagu runut bunyi berjudul ‘Warkah’ yang didendangkan oleh Ariff Bahran hasil ciptaan Asfan dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Filem terbitan Opy Global Pictures Sdn Bhd dengan usahasama PERKESO itu bakal menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh negara bermula 15 Ogos 2019.

Foto: Empire Film Solution