Warna Baju Melayu Pilihan Untuk Raya 2019

Tidak lengkap rasanya sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa ada sepersalinan baju melayu yang lengkap dengan samping buat kaum Adam di luar sana.

Setiap tahun, pasti pelbagai warna tema yang dipilih untuk kaum lelaki tampil bergaya.

Ada yang gemar memilih warna mengikut kesukaan sendiri, ada yang bersepakat seisi keluarga untuk memilih warna tema, malah ada juga  golongan suami yang perlu akur dengan pilihan isteri bagi memastikan pilihan warna sedondon dapat digayakan.

Bagi yang masih sukar untuk membuat keputusan, berikut kami senaraikan 5 pilihan warna asas bagi baju melayu untuk musim raya tahun ini beserta dengan beberapa tona untuk pilihan yang lebih spesifik.

Pemilihan warna-warna ini adalah berdasarkan satu kaji selidik secara rambang yang dijalankan di media-media sosial.

 

1) Biru

Merupakan pilihan paling popular dalam kalangan netizen.

Tona yang menjadi kegemaran ramai adalah navy blue, biru gelap, baby blue, royal blue dan firus (turquoise).

Warna royal blue misalnya, merupakan satu warna yang tidak lapuk ditelan zaman kerana ia dapat meningkatkan daya penarik si pemakai disebabkan sifatnya yang terang.

Ditambah lagi jika menggunakan material satin, pasti si pemuda dapat menawan hati si gadis apabila datang beraya di rumah.

Namun, bagi si lelaki yang lebih gemar akan warna-warna yang lebih lembut, tona baby blue merupkan antara yang menjadi pilihan ramai setiap kali musim raya.

Ia sesuai dipadankan dengan kebaya si isteri, yang pastinya akan menjadikan anda berdua tampil berseri-seri sebagai pasangan suami isteri.

Untuk mendapatkan lebih banyak pilihan baju melayu berwarna biru, boleh dilihat di Instagram Gene Martino Malaysia.

2) Hijau

Menurut seorang jurujual kedai pakaian ternama di ibu kota, hijau merupakan warna yang paling laris dijual di salah sebuah gedung pakaiaan popular pada tahun ini.

Tona yang paling mendapat sambutan pula adalah mint green selain olive green, emerald green dan hijau epal.

Mint green menjadi pilihan ramai berkemungkinan disebabkan oleh tonanya yang lembut dan turut disukai oleh para wanita di luar sana.

Jadi, tema raya sedondon pastinya lebih kelihatan berseri dengan padanan kelembutan warna mint green.

Lebih banyak pilihan baju melayu berwarna hijau yang boleh anda dapati di Jovian Mandagie.

3) Merah jambu

Jika dahulu tidak ramai lelaki yang mahu memakai baju melayu berwarna merah jambu, tapi kini tidak lagi.

Dengan revolusi dunia fesyen, warna merah jambu kini dipakai oleh semua jenis lelaki termasuk lelaki maskulim atau metroseksual dengan penuh bergaya.

Ditambah lagi dengan pelbagai tona warna merah jambu seperti dusty pink, soft pink atau pink belacan, pastinya penampilan anda mendapat perhatian.

Ia juga sesuai untuk dipilih oleh mereka yang mengikut tema warna seisi keluarga atau bagi sepasang suami isteri.

Bagi mendapatkan pelbagai pilihan baju melayu berwarna merah jambu, anda boleh membeli jenama Amar Amran.

4) Merah

Tidak dapat dinafikan, pemakaian baju berwarna merah seringkali membuatkan si pemakai kelihatan menawan dan lebih outstanding berbanding orang lain.

Warna ini juga sering dikaitkan dengan individu yang berani dan suka akan cabaran serta tidak gentar untuk ‘ke depan’ berbanding yang lain.

Bagi si jejaka yang berani dan tidak kisah untuk menjadi tumpuan pada hari raya, pemilihan baju melayu berwarna merah terang amat sesuai dengan mereka.

Namun, bagi yang kurang selesa untuk memakai tona merah terang, anda mempunyai pilihan untuk memakai warna merah hati kerana ia lebih gelap dan bersifat lebih maskulin.

Bagaimanapun, perlu diingatkan agar anda memastikan tona merah yang dipilih itu adalah bersesuaian dengan warna kulit sendiri agar anda tidak menjadi mangsa fesyen.

Bagi yang masih keliru untuk memilih tona merah yang mana satu yang menjadi pilihan untuk raya tahun ini, bolehlah melihat pilihan yang ada di Omar Ali.

 

5) Hitam

Jangan terkejut kerana warna hitam adalah antara warna yang menjadi pilihan orang ramai pada tahun ini.

Ketepikan stigma berpakaian hitam kerana berkabung yang hanyalah menjadi adat semata-mata, baju melayu hitam akan membuatkan sesiapa sahaja yang memakainya kelihatan lebih segak bergaya.

Anda mempunyai pilihan sama ada untuk memakai warna hitam sebenar, atau sedikit cair seakan-akan bertona kelabu.

Banyak jenama kini turut menjual pelbagai rekaan baju melayu berwarna hitam seperti yang ditawarkan oleh Elrah Exclusive.

Foto: Zalora Malaysia, Gene Martino Malaysia, Jovian Mandagie, Amar Amran, Omar Ali, Elrah Exclusive.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Ada yang gemar memilih warna mengikut kesukaan sendiri, ada yang bersepakat seisi keluarga untuk memilih warna tema, malah ada juga golongan suami yang perlu akur dengan pilihan isteri bagi memastikan pilihan warna sedondon dapat digayakan.