Warna Kehidupan Wawa Zainal

Nama si cantik manis ini pernah berada di puncak satu ketika dahulu. Wajahnya sering menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak. Dek raut wajahnya yang jelita, dia turut disunting jenama kosmetik terkenal sebagai duta. Namun kontroversi tentang perkahwinannya bersama seorang aktor popular menggemparkan negara.

Selepas kontroversi itu, Wawa Zainal seakan menyepi dari dunia hiburan. Dia juga mengambil keputusan untuk berhijab dan hanya fokus kepada perniagaan. Namun kuasa media sosial menaikkan kembali nama Wawa Zainal. 3.1 juta pengikut di akaun Instagram adalah buktinya.

Kini Wawa lebih selesa menjaga keluarga dan sibuk membina empayar perniagaan. Soal lakonan, biarlah suami iaitu Aeril Zafrel yang ke hadapan. Wawa juga seorang yang sangat berdikari. Sewaktu sesi fotografi dan temubual ini dilakukan, dia memandu sendirian ke studio biarpun sedang hamil 3 bulan.

Ini adalah kandungan ketiga Wawa selepas empat tahun. Sebelum ini Wawa dikurniakan sepasang cahaya mata yang begitu comel iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

“Alhamdulillah. Perasaan saya seperti waktu pertama kali mengandung dulu. Saya sangat teruja sampai sudah mula membeli barang-barang bayi biarpun kandungan baru berusia tiga bulan. Dan saya juga sudah mula menghias bilik untuk bayi baru kami. Sebenarnya kami tidak pernah merancang pun tentang anak. Kami juga tertunggu-tunggu bila akan dikurniakan zuriat seterusnya. Jarak empat tahun itu agak lama juga. Saya ingatkan saya hanya akan ada dua anak sahaja”, ujar Wawa yang inginkan empat orang anak.

 

Terkenang Susah Senang Bersama Aeril

Bukan sedikit dugaan yang harus ditempuhi Wawa dan Aeril. Kisah perkahwinan mereka sahaja sudah bikin gempar satu negara dek perkahwinan rahsia yang akhirnya terbongkar. Namun perkara itu langsung tidak menghalang pasangan sama cantik sama padan ini untuk terus jalani hidup yang bahagia.

Banyak kenangan yang saya tak dapat lupakan. Sewaktu di awal perkahwinan, kami terpaksa berjimat. Ketika melahirkan anak yang pertama dulu, duit kami habis kerana banyak belanja seperti bayar bil hospital dan keperluan bayi. Jadi kami terpaksa menghadkan perbelanjaan dan berjimat termasuklah untuk beli barang dapur. Itulah antara kenangan yang saya tak dapat lupakan.”

Biarpun berhadapan dengan ekonomi yang tidak begitu meyakinkan, namun kata Wawa suaminya tidak pernah memintanya untuk kembali bekerja.

Aeril kata kepada saya tidak perlu lagi pergi ‘shooting’ biar dia yang tanggung keluarga. Tetapi bila saya rasa sebenarnya apa yang kami ada itu masih tidak mencukupi saya bilang pada diri saya, saya perlu lakukan sesuatu untuk bantu dia. Sebab itulah saya mula jalankan perniagaan atas talian secara kecil-kecilan sehinggalah sekarang.”

Ditanya tidakkah Wawa rindukan bidang lakonan dan ingin kembali aktif semula, kata Wawa biar suaminya sahaja yang fokus pada bidang itu kerana kini dia hanya mahu tumpukan perhatian pada bidang perniagaan.

“Ada juga tawaran datang tetapi saya tidak boleh beri komitmen. Sayang juga sebenarnya sebab perlu menolak beberapa tawaran berlakon. Tetapi saya yakin dengan percaturan Allah itu lebih hebat. Saya rasa hidup saya sudah lengkap sekarang.”

Namun keputusan Wawa itu tidak bermakna dia meletakkan noktah pada bidang lakonan. Jika ada skrip yang bersesuaian, Wawa pasti akan mempertimbangkan untuk kembali beraksi di hadapan kamera.

 

Tidak Menyesal Kahwin Muda

Wawa mengambil keputusan untuk berkahwin di saat namanya sedang dipuja peminat malah ketika dia masih sangat  muda. Segala glamor yang pernah singgah pada dirinya ditinggalkan begitu sahaja demi menyemai setia bersama suami. Namun tidak sesekali dia menyesali dengan keputusan menamatkan zaman dara di usia muda.

“Sebenarnya ramai yang berkata kepada saya kenapa saya tidak pilih lelaki yang kaya sahaja sebagai suami. Tetapi saya selalu cakap saya tidak mahu berkahwin dengan orang kaya. Biarlah saya dan suami menjadi kaya bersama-sama. Alhamdulillah Allah buka pintu rezeki untuk saya dan suami sehingga ke hari ini.

Dan saya nak beritahu kepada semua orang di luar sana, kalau kita mahu sentiasa dimurahkan rezeki dan tidak sempit jangan bergaduh di antara suami isteri. Bila keluarga kita harmoni perjalanan rezeki akan lancar.”

 

Aeril Banyak Membimbing

Kata Wawa sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama Aeril, dia banyak belajar daripada suaminya itu dan mula terikut dengan perangai Aeril.

Kita banyak bertolak ansur dengan satu sama lain. Saya banyak belajar daripada sikap Aeril. Dulu saya suka marah-marah tetapi sekarang saya sudah dapat atasi perkara ini sebab saya banyak terikut dengan perangai Aeril saya sangat ‘cool’ dan penyabar. Jadi sebenarnya suami menggambarkan isteri. Kalau suami itu baik, macam itulah isterinya.”

“Dulu pun saya mencari suami yang boleh membimbing saya. Itu memang menjadi idaman saya. Dulu sebelum kahwin saya tidak boleh mengaji pun, tetapi Aeril lah yang mengajar saya mengaji. Dan dia juga selalu ingatkan saya tentang mengaji. Dia pernah cakap kalau dia mati nanti, siapa yang akan mengaji untuk dia.”

Keputusan Wawa untuk berhijab sepenuhnya juga didorong oleh suaminya. Kata Wawa pada mulanya dia berasa sukar, namun percaya perkara yang baik dan wajib tidak harus diingkari.

“Kadang-kadang keterpaksaan itu akan menjadi ikhlas dan rela lebih-lebih lagi apabila perkara itu disuruh oleh suami sendiri. Saya masih ingat kali pertama saya pakai tudung. Ketika itu kami mahu keluar rumah untuk pergi ke satu tempat dan Aeril minta saya untuk pakai tudung. Tetapi ketika itu saya enggan kerana saya rasa susah nak ‘mix and match’ tudung dengan pakaian saya pada waktu itu. Tiba-tiba Aeril cakap kalau saya tidak pakai tudung, dia tidak mahu keluar. Bermula dari detik itulah saya terus berhijab sehingga sekarang.”

 

Resepi Bahagia

Jika melihat telatah pasangan ini di media sosial, pasti tidak kering gusi dibuatnya jutaan pengikut mereka. Gurau senda serta sakat menyakat mereka di antara satu sama lain sering mencuit hati netizen. Kata Wawa itu semua adalah demi menjaga keharmonian rumah tangganya.

Sebenarnya kalau fikirkan, tidak perlu pun nak bermanja-manja atau bergurau senda ‘sweet-sweet’ seperti itu. Tetapi sebenarnya perkara seperti inilah yang mengembalikan detik-detik di awal percintaan dulu.”

“Hubungan kami seperti  kawan. Kami sering bergurau dan berkongsi macam-macam. Kami sebenarnya tak ‘sweet’ mana pun. Kami jenis sempoi-sempoi jer.”

Tanya kami pada Wawa, tidakkah dia cemburu apabila melihat Aeril berlakon bersama heroin lain serta terpalit dengan gossip liar dikatakan mempunyai hubungan dengan pelakon yang digandingkan bersama. Kata Wawa dia dan Aeril saling mempercayai diantara satu sama lain.

“Mungkin kerana saya juga seorang selebriti, jadi saya tahu macam mana kehidupan Aeril. Kalau orang biasa mungkin susah untuk berhadapan dengan situasi ini.”

Tambah Wawa lagi dia bersyukur kerana dikurniakan suami seperti Aeril yang merupakan seorang ‘family man’.

“Aeril kalau habis ‘shooting’ dia akan terus balik rumah. Dia cipta hobi dia di rumah, membela kucing dan ayam. Kadang-kadang saya bising juga kerana dia berhabis ribuan ringgit untuk membeli kucing. Tetapi katanya ini adalah penyebab dia tidak keluar rumah”.

Cerita Wawa lagi, sewaktu lebaran yang lalu, mereka sekeluarga pulang beraya di Johor. Tetapi setelah sampai mereka baru tersedar baju raya anak perempuan mereka tertinggal di Kuala Lumpur. Namun kasih seorang bapa melebihi segalanya. Aeril sanggup berpatah balik ke Kuala Lumpur untuk mengambil baju anak mereka dan pulang semula ke Johor.

Waktu malam raya pukul 12 malam baru saya perasan baju raya Hayla tertinggal. Saya cakap pada Aeril tak payah patah balik ke Kuala Lumpur sebab saya berat hati. Tetapi dia cakap kesian pada Hayla kerana dia sudah ‘fitting’ baju raya dia dan pasti akan tercari-cari. Jadi kami pun balik semula ke Kuala Lumpur dan patah balik ke Johor,” cerita Wawa mengakhiri perbualan.

 

 

Di Sebalik Wajah Salam

• Wajah Salam : Wawa Zainal
• Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
• Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
• Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
• Suntingan : Ili Farhana
• Pereka grafik: Asyraf Tamam
• Penata gaya : The Latifi
• Penata gaya hijab: The Latifi
• Jurusolek : Saidatul Nisa
• Busana dan aksesori : Milik penata gaya