Wartawan wanita muslim pertama berhijab di Amerika

Dunia Nur Adibah Ramly 05-Sep-2020
TaheraRahman
Tahera Rahman © instagram.com/taheratv

Agama Islam meletakkan martabat yang mulia terhadap kaum wanita dan tidak hairanlah banyak kisah tentang keimanan wanita yang boleh menjadi inspirasi. Bermula dari zaman Ummul Mukminin (ibu orang Mukmin) Saidatina Khadijah r.a dan Saidatina Aisyah r.a sehinggalah ke era pemodenan Ibtihaj Muhammad, wanita Muslim sering menjadi perintis. Salah seorang pelopor wanita era moden ini ialah Tahera Rahman.

Sebelum Tahera Rahman, tidak ada seorang pun wartawan penyiaran wanita di Amerika Syarikat yang tampil ke udara memakai hijab. Namun segalanya berubah sejak 8hb Februari 2018. Tahera Rahman memakai hijab memulakan siaran pertamanya sebagai wartawan penyiaran WHBF dengan tumpuan kepada wilayah lowa dan lllinios. Ia sepatutnya bukan isu yang besar, namun kisah ini telah menarik jutaan perhatian seluruh dunia.

Sejarah telah dilakar pada hari dia ke udara di televisyen sebagai wartawan penyiaran   sepenuh masa pertama memakai hijab di Amerika Syarikat. Ia merupakan detik yang sangat bermakna bagi industri penyiaran terutama bagi umat Islam.

Bagi dirinya sendiri sebagai seorang Muslim Amerika, ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan, dia telah lama menyimpan impian sebagai wartawan penyiaran yang berhijab. Selama bertahun-tahun dia bekerja di unit penerbitan stesen televisyen itu dan impian utamanya adalah untuk berdiri di hadapan kamera.

Prestasi yang telah dicapai oleh Tahera Rahman bukan sesuatu yang mudah. Ketika dia dengan penuh semangat menyatakan impiannya, ramai yang menganggapnya mustahil. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa Amerika Syarikat bukan tempat untuk penyampai berita  yang berhijab. Kekecewaannya semakin memuncak apabila mereka yang sering dijadikan contoh dalam kerjayanya turut sama meminta dia melupakan hasrat tersebut.

Walaupun begitu, keimanan dan pengharapannya kepada Allah SWT tidak pernah pudar, dia tetap tabah dan cekal sungguhpun pada saat paling sukar sepanjang hidupnya. Dia tidak pernah hilang fokus dan menjadikan alasan Muslim sebagai penghalang dalam mengejar kerjaya impiannya.

Dia nekad memberitahu semua bahawa statusnya sebagai Muslim bukan penghalang untuk dia memaksimakan potensinya. Justeru, apabila peluang itu datang, tanpa berlengah dia terus memohon jawatan sebagai wartawan penyiaran di stesen berkenaan.

Tahera Rahman telah mempersiapkan dirinya untuk jawatan tersebut dengan begitu teliti dan dia diterima berdasarkan prestasinya. Sewaktu siaran pertamanya ke udara dengan memakai hijab,  berita  tentangnya tersebar luas ke seluruh dunia. Dia digambarkan sebagai tokoh yang memberi inspirasi dan memperkasa golongan wanita sama ada Muslim mahupun bukan Muslim di seluruh dunia.

Kisahnya ini menyedarkan kita betapa indahnya Islam yang tidak pernah menyekat kita mencapai impian demi kepentingan umat manusia dan ketaatan kepada Allah SWT. Semoga Allah sentiasa memudahkan segala urusan kita.