Wasiat: sepertiga harta, hukum berubah ikut situasi

Agama Hanita Hassan 15-Nov-2020
dreamstime_s_109974337
Wasiat: sepertiga harta, hukum berubah ikut situasi © Ilia Burdun | Dreamstime.com

Ramai kalangan kita yang masih tidak faham keperluan menulis wasiat.  Sedangkan wasiat penting supaya tidak timbul pertikaian semasa pembahagian harta pusaka kepada waris.  Biasanya jika tiada wasiat, harta akan diagih mengikut faraid atau permuafakatan waris.

Wasiat seperti ikrar.  Ia bertujuan untuk menyempurna pengagihan harta selepas anda sebagai pewasiat meninggal dunia kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka.

Sepertiga daripada harta

Bagi setiap orang Islam, dengan berwasiat anda dibolehkan memperuntuk 1/3 daripada harta kepada mana-mana individu atau organisasi pilihan setelah ditolak segala hutang.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran:

“Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama) sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Baqarah, ayat 180)

Setiap wasiat hanya akan terpakai berkuat kuasa setelah anda meninggal dunia. Individu yang berumur 18 tahun ke atas dan sempurna akalnya layak melakukan wasiat.  Wasi atau pentadbir adalah individu atau organisasi yang dilantik untuk memastikan hasrat anda dilaksana mengikut wasiat dan undang-undang terpakai. Wasi akan dipertanggungjawab mengurus proses pentadbiran keseluruhan harta pusaka.

Sudah tentu wasiat yang dirancang dengan baik akan membolehkan kebajikan waris menjadi keutamaan. Ia boleh dilaksana dengan lebih profesional.  Apabila wasiat ditulis, ia memberi hak kepada anda untuk memilih penjaga yang dipercayai bagi menjaga kebajikan anak terutama yang di bawah umur.  Ia termasuklah anak yang kelainan upaya selepas anda meninggal dunia.

Dalam kehidupan keluarga, anda tidak terlepas daripada menghadapi konflik. Ada anak yang anda suka yang istimewa lebih daripada anak yang lain.  Biasanya anda ingin selalu melindungi anak kesayangan itu. Sekiranya anda tidak meninggalkan wasiat, semua pusaka yang anda tinggalkan tidak akan dapat diserah kepada anak tersayang mengikut kehendak dan hajat anda.

Hukum wasiat berubah mengikut situasi

Walau bagaimanapun, terdapat kes di mana ada ibu bapa yang masih hidup tetapi telah hilang rumah kerana hak milik  telah dipindah kepada anak lebih awal.  Ia dilakukan atas dasar percaya dan kasih sayang.

Namun, ada anak yang mengambil kesempatan dengan niat baik ibu bapa serta hasutan pihak ketiga.  Terdapat juga kes di mana keluarga mertua memaksa isteri anaknya keluar rumah. Rumah yang dibeli hasil harta sepencarian selepas suami meninggal dunia.

Pusaka merangkumi semua aset tidak alih seperti rumah atau tanah dan aset alih seperti akaun bank, saham, kereta dan sebagainya yang didaftar atas nama anda.  Semua hutang akan diselesaikan terlebih dahulu termasuk belanja mengurus pengkebumian dan lain-lain sebelum pengagihan aset.

Dalam Islam, meskipun hukum berwasiat adalah sunat yang digalakkan, namun hukumnya boleh berubah mengikut situasi.  Ia menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang wajib ditunaikan.

Contohnya seperti hak Allah SWT yang belum tertunai. Seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat diselesaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya.

Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap hak manusia. Mungkin harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan. Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan di dunia ini.