WHO saran hadkan penjualan alkohol

Makanan Syed Safri 22-Apr-2020
Sekat alkohol - WHO © Bulat Silvia | Dreamstime.com

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan semua kerajaan agar mengenakan sekatan untuk membeli dan mendapatkan alkohol semasa langkah-langkah penjarakan sosial, penutupan dan penyekatan berlaku di seluruh dunia. Pengambilan alkohol dapat melemahkan sistem imun, menjadikan seseorang lebih senang terdedah dengan bahaya wabak COVID-19.

Secara umum, alkohol diketahui boleh membahayakan kesihatan. Ia dapat meningkatkan risiko kecederaan dan keganasan, termasuk keganasan terhadap pasangan, dan dapat menyebabkan keracunan alkohol, jelas siaran akhbar WHO. Pengambilan alkohol juga dikaitkan dengan pelbagai penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, termasuk gangguan kesihatan mental yang dapat mengakibatkan seseorang mudah lemah dengan risiko COVID-19.

Secara khusus, alkohol menjejaskan sistem ketahanan badan dan meningkatkan risiko masalah kesihatan yang boleh memudaratkan kesihatan.  Oleh itu, masyarakat tidak kira di mana pun harus meminimumkan pengambilan alkohol mereka pada bila-bila masa, dan terutamanya semasa pandemik COVID-19 ini.

Sebanyak 3 juta kematian di seluruh dunia adalah disebabkan oleh pengambilan alkohol.  WHO mengesyorkan sekatan semasa terus dilaksanakan, malah dipertingkatkan selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, juga di mana-mana negara yang turut mengadakan sekatan dan larangan yang sama.

Penjualan alkohol telah mengalami peningkatan yang ketara semenjak awal langkah-langkah sekatan dan larangan ini bermula. Bahkan, peningkatan ini melebihi barang-barang penting yang dibeli untuk disimpan oleh para pelanggan, terutamanya makanan ruji masing-masing. Kebimbangan juga telah dibangkitkan mengenai corak pengambilan minuman sebegini mungkin akan menjadi kebiasaan di masa hadapan.