Wisma Putra tiada simpati bagi yang ingkar

Kehidupan Syed Safri 23-Apr-2020
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur © Tea | Dreamstime.com

Terkini, sebanyak 11,393 rakyat Malaysia telah pulang dari luar negara. Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kumpulan ini harus ingat bahawa mereka telah berjaya kembali ke Malaysia dengan tekad dan komitmen berbagai-bagai pihak.

Atas sebab itu, kesemua kumpulan rakyat Malaysia, sama ada yang baru pulang atau yang akan tiba dari luar negara perlu berdisiplin dan mematuhi semua arahan yang diberikan oleh para pekerja barisan hadapan dan juga pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan.

Beliau menyarankan kepada semua yang terbabit, apabila telah selamat sampai ke tanahair tercinta, jangan pula berlagak sombong dan tidak mahu mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ekoran daripada 95 kes terbaru COVID-19 yang berkaitan dengan kumpulan ini, kuarantin selama 14 hari telah diwajibkan oleh kerajaan. Oleh itu, semoga semua yang terbabit dapat bersikap hormat dan mengikut arahan semua barisan hadapan negara yang turut bekerja keras untuk memastikan mereka pulang dengan selamat.

Sebilangan kakitangan barisan hadapan yang menangani kes COVID-19 telah menyatakan kekecewaan mereka apabila berurusan dengan pelbagai ragam dan kerenah oleh sesetengah rakyat Malaysia, terutamanya yang pulang dari luar negara. Terdapat beberapa pekerja kesihatan yang  dicerca dan ada juga segelintir rakyat yang enggan menjalani kuarantin wajib arahan kerajaan.