X-Men Dark Phoenix Penuh Aksi Hebat

X-Men Dark Phoenix mungkin filem yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat siri filem X-Men dan juga komik-komik Marvel yang lain seperti The Avengers serta yang seangkatan dengannya.

Setelah disajikan dengan beberapa filem X-Men yang hebat sebelum ini, edisi Dark Phoenix ini benar-benar memenuhi jangkaan penonton yang tertunggu-tunggu sesuatu yang menakjubkan dalam rangkaian filem X-Men.

Seperti yang diketahui ramai, Dark Phoenix mengupas kisah asal-usul watak Jean Grey, salah seorang mutan dan ahli kumpulan X-Men yang paling berkuasa.

Sebelum ini penonton hanya melihat Jean menggunakan kehebatan kuasanya dalam menentang musuh lewat filem-filem X-Men yang lama tanpa mengetahui kisah kehidupan Jean dan bagaimana kuasa mutannya menjadi begitu kuat.

Dark Phoenix membongkar semua itu sambil memberikan satu persembahan layar perak luar biasa dengan garapan kesan khas yang benar-benar menakjubkan.

Selain cerita tentang Jean Grey, filem X-Men Dark Phoenix juga memberi peluang kepada para penerbit untuk menampilkan watak-watak X-Men lain yang pernah menjadi pemeran utama serta watak kegemaran ramai pencinta X-Men.

Ini termasuklah pembabitan watak antagonis Magneto, Night Crawler dan juga Beast. Lebih istimewa, terdapat juga beberapa watak baru yang diperkenalkan oleh pihak penerbit untuk menjadikan filem lebih menarik .

Padat dengan aksi hebat serta kesan visual yang jitu, X-Men Dark Phoenix merupakan filem yang sangat sesuai bagi mereka yang menyukai dunia adiwira serta sains fiksyen.

Diterajui nama-nama besar seperti Michael Fassbender, James McAvoy, Sophie Turner dan ramai lagi, ia pasti bakal mendapat sambutan penonton seluruh dunia!

X-Men Dark Phoenix sudahpun mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 5 Jun 2019.