Yakin Dengan Rezeki Daripada Allah

“Aku tak boleh berhenti kerja untuk jadi suri rumah. Nanti wang belanja kami sekeluarga akan berkurang sebab hanya bergantung pada gaji suami.”

“Aku terpaksa hulur sedikit ‘duit tepi’  untuk pastikan aku dapat tender projek itu.”

“Duit aku hanya tinggal RM200 dalam bank. Tak usahlah beri pada ayah sebab nanti aku pula yang tak berduit.”

Dialog-dialog dan situasi-situasi sebegini sering kita dengari dan terjadi dalam kehidupan kita atau orang lain.

Kadangkala mungkin ia kelihatan ketara atau tanpa kita sedari, kita menuturkan kata-kata atau melakukan perbuatan yang seolah-olah tidak percaya kepada rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Sebagai umat Islam, kita perlu yakin bahawa setiap kesusahan, kesenangan dan aturan rezeki adalah hak Allah, dan bukannya manusia.

Firman Allah dalam surah Yunus ayat 107 yang bermaksud: “Dan jika Allah mahu timpakan kamu dengan sesuatu yang berbahaya, maka tiada sesiapapun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia mahu kamu beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang dapat menghalang limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam kalangan para hamba-Nya, dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Walau sesusah manapun kita, kita perlu menanam keyakinan dalam diri bahawa rezeki kita sudah tertulis dan pasti ada di mana-mana.

Misalnya, jika anda berada dalam situasi sukar di mana perlu memilih sama ada untuk terus bekerja atau menjadi suri rumah demi untuk menjaga anak-anak, anda perlu yakin bahawa Allah pasti telah menyediakan rezeki yang berlipat kali ganda atas pengorbanan anda menguruskan keluarga.

Situasi yang sama jika anda berasa risau tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk melahirkan anak kerana keadaan kewangan suami dan isteri yang belum kukuh.

Yakinlah bahawa rezeki anak-anak yang akan dilahirkan itu sudah pun tertulis dan pasti akan ada sebaik mereka dilahirkan kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” – Surah Hud, ayat 6.

 

Syirik Pemberi Rezeki

Namun, pada hari ini, apa yang dikesalkan adalah terdapat antara kita yang bukan sahaja tidak yakin dengan rezeki Allah, malahan tergamak melakukan perkara-perkara yang syirik demi untuk memperoleh ‘rezeki’ yang lebih.

Contoh yang biasa kita dengar adalah menggunakan pelaris di kedai-kedai makan yang bertujuan untuk menarik pelanggan makan di kedai tersebut.

Sudahlah menggunakan khidmat bomoh atau pawang yang mengamalkan ilmu sihir atau menggunakan iblis sebagai pengantara, diserahkan pula kepercayaan kepada perkara-perkara syirik tersebut.

Perbuatan ini jelas memesongkan akidah, yang akhirnya boleh menghancurkan keimanan kita.

 

 Teruskan Berusaha Dan Berdoa

Sebaiknya, apa yang perlu dilakukan adalah agar kita teruskan berusaha dan berdoa bagi memperoleh rezeki yang berterusan.

Namun, jika rezeki yang dihajati masih belum diperoleh sedangkan doa dan usaha sudah acapkali dilakukan, usah menyalahkan takdir.

Ada kalanya Allah S.W.T. tidak mengurniakan sesuatu yang diminta tetapi Dia mengurniakan sesuatu yang diperlukan.

Inilah yang membuktikan bahawa Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.

Teruskanlah bersabar dan berusaha untuk memperoleh rezeki yang dicita-citakan.

 

Foto: Naim Benjelloun, Shahbaz Akram, Tim Gouw, Vjapratama & Pixabay (Pexels)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” - Surah Hud, ayat 6.