Yuna Papar Budaya Malaysia Dalam Muzik Video Forevermore

Seni Shah Shamshiri 09-Apr-2019

Penyanyi kebanggaan negara iaitu Yuna telah melancarkan single terbaru  berjudul ‘Forevermore’ yang telah berjaya menjadi buah mulut rakyat Malaysia dalam masa kurang dari 24 jam sehingga menjadi ‘trending’ di Youtube.

Apa yang menariknya tentang lagu ini ialah  muzik video ‘Forevermore’ telah dihasilkan di Malaysia dan diarahkan oleh suami Yuna sendiri iaitu Adam Sinclair.

 

 

Rata-rata netizen yang telah menonton muzik video ’Forevermore’ di saluran YouTube berasa sangat bangga dengan Yuna yang telah mempamerkan budaya Malaysia di dalam  muzik video terbarunya itu. Malah Yuna disifatkan mereka sebagai duta kecil Malaysia.

Yuna turut mencipta kelainan dengan menghasilkan muzik yang lebih ‘catchy’ serta mempamerkan bakat tariannya di dalam video muzik terbarunya itu.

 

 

Antara elemen-elemen menarik yang diketengahkan oleh Yuna dalam muzik video ‘Forevermore’ ialah keindahan sawah padi di Perlis, wajah-wajah penduduk lokal, kedai runcit, kereta Proton Saga, Stadium Shah Alam, stesen petrol lama dan juga Batu Caves. Lebih menarik apabila Yuna turut memaparkan budaya ‘Mat Rempit’ yang sering menjadi stigma masyarakat.

 

 

Fesyen-fesyen yang digayakan oleh Yuna dalam muzik video ini juga kelihatan sangat bergaya dengan  pertembungan dua  elemen gaya iaitu tradisional seperti songket dan rekaan moden  baju panas  bersaiz besar.

Single ’Forevermore’ bakal dimuatkan di dalam album studio ke empat Yuna yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Tahniah diucapkan kepada Yuna dan seluruh warga kerja disebalik lagu serta muzik video ‘Forevermore.’ Terus membanggakan nama Malaysia di mata dunia!

oleh : Helmi Anuar

foto : Instagram Haida Yusof (Penata Gaya MV Forevermore)