Zaid bin Tsabit r.a, Muslim pertama kumpulkan al-Quran

Agama Md Wa'iz 26-Okt-2020
dreamstime_s_9536534
Zaid bin Tsabit r.a, Muslim pertama kumpulkan al-Quran © Afaqpress | Dreamstime.com

Sebelum kita menerima mushaf al-Quran yang lengkap pada hari ini, tahukah anda bahawa al-Quran pada awal penurunannya tidak ditulis dan hanya dihafal? Ya, pada zaman Nabi Muhammad SAW, wahyu al-Quran ini tidak ditulis dalam bentuk seperti yang kita dapati pada hari ini. Ia hanya dihafal oleh sahabat-sahabat baginda sahaja.

Sejak bila al-Quran dikumpul dan dibukukan?

Usaha pengumpulan al-Quran ini mula diikhtiarkan oleh Khalifah Abu Bakar r.a selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW. Khalifah Abu Bakar mula terjentik hati untuk melakukan usaha pembukuan setelah menyedari ramai penghafal al-Quran terkorban dalam peperangan.

Menyedari hal ini, Umar Al-Khattab r.a telah menyarankan Khalifah Abu Bakar r.a untuk mula mengumpul dan membukukan al-Quran supaya ia tidak hilang. Atas saranan tersebut, Khalifah Abu Bakar mula mengarahkan Zaid Bin Tsabit r.a untuk kumpulkan al-Quran dalam bentuk sebuah mushaf lengkap.

Usaha pembukuan al-Quran pada peringkat awal ini lebih kepada usaha pemeliharaan untuk rujukan, bukannya untuk pengedaran bagi bacaan umum.

Siapakah Zaid bin Tsabit r.a dan mengapa beliau dipilih?

Zaid bin Tsabit r.a merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW. Pada waktu kecilnya ketika berumur 11 tahun, beliau meminta izin Nabi Muhammad untuk menyertai Peperangan Badar. Namun, beliau tidak dibenarkan memandangkan umurnya kurang 15 tahun.

Beliau dikenali sebagai antara individu yang pintar dan cerdas kerana kebolehannya membaca dan menulis yang jauh lebih baik daripada orang lain. Pada umurnya yang masih kecil, beliau telah menghafal 17 juzuk al-Quran sehingga menarik perhatian Rasulullah SAW.

Disebabkan hal ini, Zaid r.a mula menjadi orang kepercayaan Rasulullah SAW. Beliau ditugaskan menulis wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Sebenarnya, ramai lagi penulis wahyu yang berkhidmat menuliskan ayat-ayat al-Quran. Tetapi Zaid bin Tsabit r.a adalah antara penulis wahyu yang paling terkenal dalam sejarah Islam.

Bermula usaha kumpul ayat al-Quran

Khalifah Abu Bakar r.a meminta Zaid Bin Tsabit r.a untuk mengumpul dan mengesahkan ketulenan ayat-ayat al-Quran yang telah ditulis sebelum ini. Beliau bukan hanya mengumpul tulisan-tulisan ayat al-Quran yang telah ditulis. Tetapi beliau juga mengumpulkan ayat-ayat yang dihafal oleh para penghafal al-Quran.

Bagi ayat-ayat yang ditulis, Zaid r.a mengumpulkannya daripada pelbagai jenis material seperti pelepah pohon kurma, tulang dan juga kulit kambing. Tugasnya hanyalah satu, mengumpulkan ayat-ayat al-Quran daripada kedua-dua sumber ini dan menjadikannya satu mushaf bertulis yang lengkap.

Setiap ayat al-Quran yang dikumpulkan, ia akan disahkan kesahihannya terlebih dahulu sebelum dibukukan menjadi satu mushaf lengkap. Setiap ayat akan disahkan melalui pengakuan dua orang sahabat nabi terlebih dahulu.

Kesemua suhuf atau helaian mushaf yang telah lengkap ini kemudiannya diserahkan oleh Zaid Bin Tsabit r.a kepada Khalifah Abu Bakar r.a untuk disimpan sebagai rujukan. Selepas kematian Khalifah Abu Bakar, helaian mushaf ini kemudiannya dijaga oleh Umar Al-Khattab r.a, dan kemudiannya kepada anaknya iaitu Hafsah r.a.

Nikmat hari ini merupakan usaha golongan terdahulu

Jika bukan kerana idea Khalifah Abu Bakar r.a dan usaha Zaid Bin Tsabit r.a, kita mungkin tidak akan dapat untuk melihat al-Quran secara fizikal seperti hari ini. Kita juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk membaca al-Quran kerana perlu menghafal keseluruhan teksnya tanpa sebarang mushaf.

Disebabkan usaha pengumpulan dan pembukuan al-Quran ini, kesemua bangsa di dunia dapat membaca al-Quran dan memperoleh pahala daripada pembacaannya.