Zainab Cobbold, wanita Inggeris pertama menunaikan haji di Mekah

Eropah 27 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Zainab Cobbold, wanita Inggeris pertama menunaikan haji di Mekah
Zainab Cobbold, wanita Inggeris pertama menunaikan haji di Mekah © goodreads.com

Tidak banyak sejarah yang menceritakan mengenai tokoh-tokoh Muslim berbangsa Inggeris. Ini termasuklah Zainab Cobbold yang sebenarnya mempunyai kisah menarik mengenai kehidupannya.

Siapakah Zainab Cobbold dan apakah kisah menarik mengenainya?

Latar belakang awal Zainab Cobbold

Nama asal bagi wanita Inggeris ini ialah Lady Evelyn Murray Cobbold. Beliau telah dilahirkan pada 17 Julai 1867 dalam sebuah keluarga bangsawan Scotland.

Bapa beliau, Charles Adolphus Murray adalah 7th Earl of Dunmore. Ibunya pula, Lady Gertrude Coke merupakan anak kepada 2nd Earl of Leicester. Boleh dikatakan keseluruhan susur galur keluarganya adalah daripada golongan aristokrat atau bangsawan.

Sewaktu kecil, bapanya akan membawa seluruh ahli keluarganya ke kawasan Afrika Utara setiap kali musim sejuk untuk menghabiskan waktu cuti di sana. Antara kawasan yang sering dikunjungi oleh keluarganya ialah Kaherah, Mesir dan juga Algiers di Algeria.

Pada waktu inilah, dia banyak mempelajari bahasa Arab, berkenalan dengan kanak-kanak Muslim serta melawat masjid-masjid. Suasana semasa zaman kanak-kanak inilah yang mula mendedahkannya kepada agama Islam.

Zainab Cobbold mengaku Islam di hadapan Pope

Zainab Cobbold mengakui bahawa beliau sendiri tidak mengetahui pada waktu bilakah beliau mula menjadi seorang Muslim. Ini kerana beliau sudah lama berasa bahawa dirinya adalah seorang Muslim.

Namun, pengakuan pertama secara jelas yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim adalah ketika berjumpa dengan Pope. Pada ketika itu, dia berada di Itali bersama rakannya. Rakannya ada bertanya kepadanya sekiranya dia ingin bertemu dengan Pope dan dia bersetuju dengan pelawaan tersebut.

Sewaktu berjumpa dengan Pope, Pope ada bertanya kepadanya sekiranya dirinya adalah seorang Katolik. Namun, Zainab menjawab bahawa dia adalah seorang Muslim. Bermula daripada saat inilah dia mula mendalami Islam secara rasmi.

Wanita Inggeris Muslim pertama yang menunaikan haji

Pada tahun 1915, beliau telah mengumumkan bahawa dirinya adalah seorang Muslim secara rasmi. Beliau menukarkan namanya daripada Evelyn kepada Zainab Cobbold.

Pada tahun 1929 pula, beliau telah merancang untuk pergi menunaikan haji di Mekah Al-Mukarramah. Beliau telah menghubungi Duta Kerajaan Hijjaz dan Najd di United Kingdom untuk memohon kebenaran menunaikan haji. Permohonannya itu telah dipanjangkan kepada Raja Abdul Aziz pada ketika itu.

Pada tahun 1933, beliau telah pergi ke Mekah dan menunaikan haji di sana sewaktu umur beliau telah mencecah 65 tahun. Peristiwa ini menjadikan Zainab Cobbold sebagai wanita kelahiran United Kingdom yang pertama menunaikan haji.

Pengalamannya menunaikan haji ini telah dirakamkan dalam buku penulisannya yang bertajuk “Pilgrimage to Mecca”.

Zainab Cobbold pergi menghadap Ilahi

Pada tahun 1963, Zainab Cobbold telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berumur 95 tahun. Pada saat kematiannya, tiada individu Muslim di Scotland yang boleh melakukan solat jenazah untuknya.

Oleh itu, ahli keluarganya telah menghubungi imam Masjid Woking di Surrey, London untuk melakukan solat jenazah tersebut. Sebelum meninggal dunia, Zainab Cobbold telah berwasiat agar jenazahnya dikebumikan di atas bukit dalam ladangnya dan mestilah menghadap ke arah Mekah.

Beliau juga berwasiat agar batu nisannya diukirkan dengan ayat 35 daripada surah An-Nur (24) yang bermaksud:

“Allah is the Light of the heavens and the earth…”

Semoga Allah Taala menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman, aamin.