Zainal Abidin bin Ahmad atau Pendeta Za’ba

Kehidupan Chan Abdullah 17-Ogo-2020
Pendeta Za'ba © malaysiaboleh.com

Za’ba atau nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad merupakan seorang cendekiawan Melayu yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat. Beliau dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.

Seorang suku Bugis Linggi Kepulauan Riau, Zainal telah menunjukkan cintanya terhadap ilmu ketika berusia lima  tahun lagi, apabila belajar sendiri menulis pada daun-daun pokok pisang. Minatnya yang mendalam terhadap ilmu ini disemarakkan lagi dengan hadiah papan tulis yang diberikan oleh ayahnya. Hadiah tersebut mendorong Zainal menajamkan minat menulisnya.

Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi ketika berusia 12 tahun di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Ayahnya mahukan beliau belajar bahasa Arab dan Fekah sehingga mampu menjadi seorang ulama. Namun akhirnya Zainal meneruskan pelajarannya di Institusi St. Paul, Seremban dan merupakan pelajar Melayu pertama yang menduduki peperiksaan Senior Cambride dan lulus peperiksaan pada 1915.

Za’ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916 di English College. Selain itu beliau juga pernah menjadi penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) UMNO dan pensyarah Bahasa Melayu, Universiti Malaya, Singapura.

Nama Za’ba memang tidak asing lagi dalam masyarakat terutamanya dalam bidang bahasa Melayu mahupun bahasa Arab, ditambah pula dengan pengetahuan agama yang dimilikinya. Pendeta Za’ba juga terkenal sebagai seorang intelektual Melayu yang dihormati.

Sejak beliau masih muda, beliau sangat prihatin dengan keadaan masyarakat. Beliau kerap kali mengadakan polemik dalam majalah dan akhbar tentang pandangannya terhadap bahasa, agama, iktisad dan pendidikan. Beliau juga pernah menggunakan nama pena seperti Zai Penjelmaan, Patriot dan Za’ba.

Za’ba merupakan seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh dan Pakar Majalah. Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkan oleh Za’ba seperti Ilmu Bahasa Melayu, Rahsia Ejaan Jawi, Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu, Daftar Ejaan Melayu: Jawi- Rumi.

Memandangkan sumbangan beliau yang sangat besar terhadap negara, beberapa penghargaan telah dianugerahkan kepada beliau, antaranya:-

  • 1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
  • 1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya
  • 1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri
  • 1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia

Za’ba menghembuskan nafas terakhirnya  pada 23 Oktober 1973 pada umur 78 tahun. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian beliau sebagai seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sumbangan beliau terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya. Moga nama Pendeta Za’ba akan terus kekal  dan dijulang oleh generasi kini dan akan datang.