Zakat kekuatan umat Islam

Agama Hanita Hassan 27-Mei-2020
Zakat memperkuat ekonomi Muslim © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Kekuatan ekonomi umat Islam boleh dilihat daripada jumlah bilangan pembayar zakat di sesebuah negeri atau negara.  Kita akui bahawa zakat adalah salah satu daripada sumber ekonomi utama bagi  sebuah negara yang majoritinya Islam.  Pengurusan zakat secara efisien dan sistematik mampu melonjak potensi zakat sebagai instrumen pembangunan umat Islam.

Zakat telah difardukan kepada kita pada tahun kedua hijrah. Sebelum itu pemberian dan sumbangan dilakukan adalah secara sukarela sahaja. Islam telah mengangkat kedudukan golongan penerima zakat di mana bebanan tanggungjawab untuk membantu mereka telah diserah kepada golongan muslim yang berkemampuan sebagai suatu bentuk kewajipan yang perlu dipatuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya menjadi hak yang termaklum.  Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”  (Surah Al-Ma’arij, ayat 24-25)

Perubahan normal baharu yang berlaku di seluruh dunia akibat daripada pandemik COVID-19 telah mewujudkan pertambahan asnaf yang baharu.  Krisis ini telah mengakibatkan gangguan kesenjangan atau ketidakseimbangan ekonomi apabila ada kalangan rakyat yang tiba-tiba hilang pendapatan, hilang pekerjaan, perniagaan merosot sekali gus menggawatkan kestabilan ekonomi isi rumah secara keseluruhannya.

Dunia sebelum ini pernah mengalami krisis kewangan sekitar tahun 2008 dan sebelumnya sebanyak 124 kali antara 1970 dan 2007, namun cabaran yang berlaku hari ini lebih sukar.

Dalam menangani masalah ini, Malaysia telah melancarkan tiga pakej rangsangan ekonomi dan ia termasuk inisiatif ekonomi zakat untuk merangsang ekonomi rakyat yang terkesan akibat krisis ini.

Di Malaysia, sejumlah RM153.24 juta zakat telah diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Agihan ini tidak termasuk pelbagai skim bantuan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya berkata, bantuan zakat disalurkan ke institusi zakat seluruh negara bagi membantu asnaf yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19.

Jumlah kutipan zakat yang semakin meningkat di Malaysia membuktikan bahawa kesedaran berzakat semakin tinggi dalam kalangan umat Islam.  Ia juga hasil daripada gerak kerja dakwah secara maksima oleh pusat zakat di setiap negeri dalam menghebahkan   kepentingan zakat  kepada individu dan organisasi korporat.

Zakat adalah jaminan untuk kesejahteraan masyarakat, membangun pertumbuhan ekonomi yang seimbang, adil dan saksama serta jambatan menghubungkan sesama muslim melalui ukhwah keimanan.

Justeru, dalam situasi hari ini, pengagihan dana zakat perlu dilaksana sepantas kesan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Semoga lebih ramai yang cakna kesedaran mengeluarkan zakat. Kita bantu kita dan kita bantu orang lain juga.

Zakat suci harta suci jiwa.