Ziarah Kubur, Baca Yassin Selepas Solat Raya, Apa Hukumnya?

Sahsiah Rahayu Mat Nah 01-Jun-2019

Sudah menjadi kebiasaan, selepas menunaikan Solat Hari Raya ramai yang mengambil kesempatan menziarahi kubur ahli-ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Seperti amalan memberi duit raya, menziarahi kubur pada Hari Raya juga boleh dikatakan sudah menjadi budaya masyarakat Islam terutamanya Melayu.

Selain ziarah, ramai juga yang berhimpun membaca Surah Yasin di kuburan sebagai hadiah buat si mati.

Persoalannya, apakah hukum amalan ini? Adakah ia dibolehkan dalam Islam atau sebaliknya? Berdasarkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri di laman sesawang rasmi Pejabat Mufi Wilayah Persekutuan, asal ziarah kubur adalah dituntut dalam Islam.

Ia adalah sunat mengikut pendapat yang sahih. Ini berdasarkan kepada nas yang banyak walaupun pada awalnya Rasulullah S.A.W melarang daripada menziarahi kubur tetapi diizinkannya, bahkan menyuruhnya. Ini berdasarkan hadith yang bermaksud:

“”Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, sekarang maka ziarahlah kerana ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat.”  (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, hukum ini berbeza untuk golongan wanita. Ini kerana kaum wanita berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka.

Lebih-lebih lagi jka si mati adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya sehingga kadangkala membangkitkan emosi yang berlebih-lebihan sehingga tidak dapat dibendung, seterusnya meratap di tanah perkuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi wanita adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring kerana terlalu sedih.

Bagaimanapun, hukum makruh ini akan jatuh haram jika seseorang wanita itu tidak dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, tidak dapat menahan diri daripada kesedihan yang keterlaluan dan mengundang fitnah.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah S.A.W. Hukumnya adalah sunat bagi wanita dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para Nabi, para ulama dan aulia.

Hukum Membaca Surah Yasin di Kubur

Membaca Surah Yasin terutama membacakannya untuk orang yang sedang nazak memiliki banyak keutamaan.

Dalam Surah Yasin terkandung hikmah dan pelajaran yang dapat dipetik oleh kaum muslimin apabila membacanya dengan ikhlas dan hanya mengharap redha Allah SWT. Meskipun demikian, masih terdapat banyak  perbahasan yang mempersoalkan tentang hukum membaca Surah Yasin di kubur.

Beberapa ulama menyatakan bahwa membaca Surah Yasin di kubur adalah bid’ah atau sesuatu yang tidak diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Hal ini sependapat dengan pernyataan arwah mantan Mufti kerajaan Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz bahawa membaca Al-Quran di kubur adalah bukan amalan yang dianjurkan untuk dilaksanakan oleh umat Islam kerana Rasul sendiri tidak pernah menganjurkannya. Begitu juga dengan Khulafa Ar-Rasyidin.

Sumber : http://muftiwp.gov.my & https://dalamislam.com

Kredit foto : Niko Lienata, Unsplash