Ziarah orang sakit – apa yang patut kita tahu mengenainya?

Acara Hanita Hassan
Hanita Hassan
Ziarah orang sakit - apa yang patut kita tahu mengenainya?
Ziarah orang sakit - apa yang patut kita tahu mengenainya? © Airdone | Dreamstime.com

Agama Islam amat mementingkan umatnya agar menjaga hubungan silaturahim sesama muslim. Kita digalakkan menziarahi ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga sama ada semasa mereka sihat, apatah lagi sekiranya mereka sedang sakit.

Malahan, sunat menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali atau orang yang pernah menyakiti dan menzalimi kita.  Ia adalah amalan yang terpuji dan mulia di sisi Allah SWT.

Amalan melawat atau ziarah orang sakit

Setiap kali kita hendak menziarahi ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang sakit, niatkan kerana Allah SWT. Ia adalah waktu yang sesuai untuk kita mengerat silaturahim dan bermaaf-maafan sekiranya pernah berselisih faham.

Kehadiran anda ke rumah atau hospital memang tidak boleh menyembuhkan mereka, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu dari sudut spiritual pesakit, menyuntik semangat untuk dia terus sihat.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 641; Muslim, 2573; at-Tirmidzi, 966; Ahmad, 7684, 8070, 10714)

Beberapa adab ketika menziarah orang sakit perlu diambil kira.  Tidak perlu ziarah terlalu lama. Sekurang-kurangnya 15 minit sahaja. Pesakit juga perlukan rehat secukupnya.

Sekiranya anda melawat pesakit di hospital, pastikan tidak membuat bising seperti bercakap terlalu kuat.  Ia boleh mengganggu pesakit lain yang berada di sana.  Anda juga perlu tahu waktu yang sesuai untuk ziarah bukan datang bila-bila masa yang anda suka.

Apa yang patut dibuat ketika menziarah orang sakit?

Doa adalah senjata orang beriman. Ketika ini pesakit memerlukan doa anda kerana setiap doa baik yang diucapkan anda akan turut diaminkan oleh para malaikat.  Anda berdoa agar Allah SWT menyembuhkannya.

Sekiranya pesakit berada pada tahap kritikal atau nazak, bacakan Surah Yaasin dengan jelas.  Sesungguhnya ayat al-Quran adalah penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman.

Anda atau ahli keluarga terdekat juga hendaklah membisikkan di telinga pesakit kalimah Syahadah supaya di akhir hayat kalimah tauhid tidak lepas daripada sebutan lidahnya.

Sekiranya anda melihat keburukan pada pesakit, simpan sahaja dan jangan dijaja kepada orang lain.  Ia hanya akan membuka aib pesakit.  Malahan jadikan ia sebagai pengajaran dalam kehidupan anda.

Sesungguhnya amalan menziarahi orang sakit banyak hikmahnya. Ia dapat mengeratkan silaturahim, melahirkan kasih sayang, menjaga kesihatan dan menginsafkan kita akan saat kematian.  Allah SWT telah menjanjikan ganjaran kepada hamba-Nya yang menziarahi orang sakit.

Daripada Ali r.a, Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya 70,000 malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya 70,000 malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga.”

(Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi dan lain-lain)

Justeru, sebaik sahaja mendengar berita ahli keluarga, sahabat atau jiran tetangga sakit, segeralah menziarahinya. Semoga tindakan kita melawat mereka yang sakit dapat menginsafkan kita serta mensyukuri dan menghargai nikmat sihat, kurniaan berharga daripada Allah SWT khusus buat hamba-Nya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.