Zikir dan kelebihan melantunkannya

Kepercayaan Chan Abdullah 21-Mei-2020
Kelebihan berzikir © Twenty2photo | Dreamstime.com

Zikir ialah satu perbuatan mengingati Allah SWT dengan menyebut nama-Nya, beristighfar, bertahmid, bertasbih atau bertakbir.

Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh Tuhanmu, bahkan lebih baik daripada menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka: ‘Mahu, wahai Rasulullah.’ Sabda Baginda: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sebagai seorang Muslim, kita haruslah sentiasa berzikir dan mengingati Yang Maha Berkuasa. Melalui berzikir kepada Allah SWT, antara kelebihan yang kita perolehi ialah:

Ganjaran daripada Allah SWT – Rasulullah SAW bersabda: “Zikir yang dibaca berulang-ulang setiap hari tidak akan mensia-siakan pembaca atau pelakunya (akan mendapat ganjaran): Tasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, tahmid sebanyak tiga puluh tiga kali dan takbir sebanyak tiga puluh empat selepas setiap solat (fardu).” (HR Muslim)

Diampunkan kesalahan walaupun seluas lautan – Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 33 kali dan kesemuanya 99 kali dan Baginda berkata mencukupkannya 100 dengan membaca: Tidak ada Tuhan selain Allah Yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, bagi kekuasaan-Nya dan bagi-Nya pujian dan Dia berkuasa ke atas segala-galanya. Diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun seluas lautan.” (HR Muslim)

Mendapat perlindungan dan jaminan daripada Allah SAW – Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, dia sentiasa berada dalam jaminan Allah sehingga ke solat yang berikutnya.” (HR Al-Tabrani)

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 41-43: “Wahai orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingati (nama-Nya) sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang member rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (memohon keampunan untukmu), agar Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.”

Sebagai seorang Mukmin, kita harus sentiasa mengajak orang lain untuk kembali kepada Allah SWT. Marilah kita sentiasa mengingati-Nya pada setiap masa dengan menghidupkan amalan berzikir di dalam kehidupan kita setiap hari.