Zikir: Istighfar dapat melahirkan cinta dan ampunan Allah SWT

Doa 25 Apr 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Zikir: Istighfar dapat melahirkan cinta dan ampunan Allah SWT
Zikir: Istighfar dapat melahirkan cinta dan ampunan Allah SWT © Ababil12 | Dreamstime.com

Zikir: Istighfar dapat melahirkan cinta dan ampunan Allah SWT – artikel ini akan berkongsi tentang amalan istighfar yang mampu meraih cinta dan keampunan dari Allah SWT.

Dengan berzikir dan beristighfar, i’ mampu mengingatkan kita kepada Allah Taala dan membuatkan kita dekat dengan-Nya.

Istighfar dan sifat Ghafir Allah Taala

Istighfar adalah antara amalan lepas solat yang paling singkat. Ucaplah sebanyak-banyaknya, ‘Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah’.

Maksud Astaghfirullah dan tiga bahagiannya

Dalam ilmu Sorof (Saraf), iaitu salah satu cabang dalam ilmu tata bahasa Arab yang membahas permasalahan bentuk suatu kalimah atau kata, zikir ‘Astaghfirullah’ menjadikan ia kepada tiga bahagian:

  • Ista: menujukan kepada permohonan, permintaan, mengizinkan
  • Ghafara: ampunan dari Allah SWT (perkataan ghafara ini gandingannya adalah dosa)
  • Allah: sebagai objek harapan

Apabila kita melafazkan istighfar, semestinya kita ini telah melakukan dosa. Dosa dalam Bahasa Arab adalah ‘Zanbun’ atau ‘zunuubun’ (jamak).

Allah SWT menurunkan satu sifat dalam surah Ghafir, ayat 3; iaitu sifat ‘Ghafir’. Ghafir ialah sifat Allah yang mengampunkan hamba-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat. Yang Berat azab-Nya, Yang Melimpah-limpah kurnia-Nya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah tempat kembali.”

Istighfar dan sifat mengampuni Allah SWT

Berkenaan dengan dosa, sifat yang diturunkan Allah Taala ialah mengampuni  atau ‘Ghaffar’. Ketika berzikir dan beristighfar, kita hendaklah mengingati apa dosa yang telah dilakukan.

Contohnya, dengan lisan yang menyakiti hati ibu bapa, dosa suami kepada isteri, isteri kepada suami, dengan tangan yang menyakiti anak-anak, kepada jiran tetangga – yang menghambat dan menyekat pintu kemuliaan.

Antara dosa yang dilakukan manusia adalah dengan melihat perkara maksiat, contohnya melalui telefon, televisyen, dan gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Allah SWT berfirman kepada semua orang lelaki dan perempuan dalam surah An-Nur, ayat 30-31:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

 

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka. Atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Syurga untuk ahli taqwa dan orang beristighfar

Zikir istighfar adalah amalan ahli taqwa. Terdapat syurga khas bagi orang yang bertaqwa.

Allah Taala membuka pintu keberkahan langit dan bumi, seperti dalam surah Al-A’raaf, ayat 96:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Taubat dan ampunan dosa oleh Allah Taala

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah aal-i-Imraan, 3 ayat 31)

 

“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,”

(Surah Al-Baqarah, ayat 222, di akhir ayat mengenai taubat)

 

“Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat. Yang Berat azab-Nya. Dan Yang Melimpah-limpah kurnia-Nya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah tempat kembali.”

(Surah Ghafir, ayat 3)

Zikir istighfar mampu menghadirkan cinta Allah SWT

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin:

Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya

Orang yang suka kepada zikir istighfar adalah orang yang tawwabin iaitu suka kepada meminta taubat dan keampunan dari Allah SWT.  Tawawabin (orang yang bertaubat)  adalah orang yang yang dicintai oleh Allah, di mana jika dicintai oleh-Nya, mereka akan dijaga oleh Allah dari berbuat dosa.