Zikir mudah amalan berpahala besar

Agama Hanita Hassan 05-Mei-2020
Berzikir menambah pahala © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menyatakan, terdapat dua kalimat yang ringan diucapkan dilisan, namun dicintai oleh Allah SWT, berat pada timbangan iaitu “Subhanallah wabihamdihi, subhanallahil ‘Azim.”

Zikir merupakan salah satu bentuk ibadah yang dilakukan untuk mengingati Allah SWT.  Ia  adalah amalan yang ringan di mulut tetapi ganjaran pahala yang diperolehi sangat besar.  Terdapat banyak zikir yang boleh dilafazkan.  Antaranya bertasbih, bertahmid dan takbir.

Firman Allah SWT: “Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pasti akan ingat kepada-Mu. Bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu kufur ingkar kepada-Ku.” (Al-Baqarah, 152)

Sebuah hadis qudsi menyebut: “Aku bersama hamba-Ku yang mengingati-Ku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semua amalan kita di dunia akan ditimbang di akhirat kelak, tidak terkecuali.   Sekiranya amalan kebaikan lebih berat, maka kita akan dimasukkan ke dalam syurga.  Sebaliknya, jika amalan kejahatan lebih berat, maka kita akan dihumban ke dalam api neraka.

Siapa pun tentu berharap agar timbangan amal baiknya lebih berat daripada timbangan amal buruknya.  Rasulullah SAW menawarkan pelbagai amalan untuk memperberat timbangan kebaikan bermula daripada amalan terberat hingga kepada amalan teringan.

Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abid Dunya, an-Nasa’I, At Tabrani dan al-Nazzar menyebut, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apakah seseorang antara kamu setiap hari tidak mampu mengamalkan suatu amalan sebesar Gunung Uhud?”

Para sahabat menjawab: “Ya Rasulullah, siapa yang mampu melakukan amalan sebesar Gunung Uhud?” Nabi SAW bersabda: “Kamu semua mampu.”

Mereka bertanya: “Bagaimana caranya?” Baginda bersabda: “Ucapan Subhanallah lebih besar pahalanya daripada Gunung Uhud, ucapan La ila ha illallah lebih besar daripada Gunung Uhud, ucapan Alhamdulillah lebih besar daripada Gunung Uhud dan ucapan Allahuakbar lebih besar daripada Gunung Uhud.”

Kisah kelebihan zikir turut dikisahkan dalam al-Quran sewaktu Nabi Yunus a.s. ditelan ikan Nun. Ketika Nabi Yunus berada dalam kegelapan di dalam perut ikan,  baginda  tidak putus-putus berzikir, ibadah yang tidak pernah ditinggalkannya.

Beliau berdoa kepada Allah SWT, “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin” yang maksudnya: ‘Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah) Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Nabi Yunus a.s. cukup terkenal di langit.  Allah menyatakan di dalam al-Quran, sekiranya Nabi Yunus tidak memperbanyakkan zikirnya, maka baginda tidak akan diselamatkan oleh-Nya.

Setiap zikir yang diamalkan termasuk ibadat lain seperti membaca al-Quran, solat dan doa kita, kesemuanya akan diangkat ke langit.  Ada yang naik sehingga ke langit pertama, kemudian ia hilang.  Bagaimanapun, zikir para nabi akan naik dari langit pertama hingga ke tujuh dan dikenali oleh seluruh penduduk langit.

Justeru, imarahkan Ramadan tahun ini dengan amalan zikir ringkas penuh berkat.  Semoga amal ibadat yang kita lakukan diterima Allah SWT.