Zuriat anugerah berharga Yang Maha Esa

Kehidupan Hanita Hassan 22-Mei-2020
dreamstime_xs_172763741
Kawal emosi ketika bersama anak-anak © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Anak merupakan anugerah Allah SWT. Setiap pasangan yang berkahwin sudah pasti mengimpikan anugerah berharga ini.  Ramai pasangan yang percaya kebahagiaan hanya dapat dicapai sekiranya dikurniakan zuriat.  Ada pasangan yang berpisah kerana zuriat.  Tidak kurang juga yang terpaksa berpoligami, membenarkan suami kahwin lagi untuk memperoleh zuriat daripada darah daging sendiri.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menceritakan kepada mereka yang diuji dengan tidak diberikan anak kepadanya dan Allah SWT akan memberikan apa yang dikehendaki-Nya di syurga nanti.  Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Khudri r.a., Sabda Nabi SAW:

“Seorang Mukmin sekiranya ia ingin memiliki anak (namun tidak mendapatkannya, di syurga sesungguhnya ia akan mengandungnya, menyusuinya dan membesarkannya mengikut apa yang dikehendakinya.”  (Hadis riwayat Ibnu Majah no 4338)

Kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik menerima setiap ujian Allah SWT.  Berkemungkinan sesuatu perkara yang baik di sisi manusia boleh jadi perkara itu buruk di sisi Allah, begitu juga sebaliknya.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.  Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Anak adalah amanah dan tanggungjawab yang mesti dijaga dengan sebaiknya.  Imam al-Ghazali ada berpesan:  “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa.  Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.  Sebaliknya jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersia seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa.  Dosa juga akan ditimpa ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”

Justeru, asas pendidikan harus diberi keutamaan.  Tanamkanlah akidah serta ajarilah anak anda berkenaan syariat dalam agama seperti solat, di samping membina akhlak peribadi berteraskan akhlak Islam.  Contoh terbaik yang boleh menjadi teladan adalah Rasulullah SAW dalam penghayatan kehidupannya.

Islam meletakkan kanak-kanak sebagai aspek utama yang perlu diberi perhatian.  Jika Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya mula mengadakan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak dan memberi hak sepatutnya pada tahun 1959,  Islam telah menekankan sejak 15 kurun lalu supaya meletakkan kanak-kanak sebagai aspek yang wajib diberi perhatian.

Perkara pokok yang mesti diajar kepada anak ialah mendirikan solat.  Jika baik solatnya maka baiklah aspek lain dan begitulah sebaliknya.  Begitu juga dengan pendidikan al-Quran. Jika tidak boleh mengajar anak membaca dan mahir al-Quran, hantarlah ke kelas-kelas yang mengajarinya.

Ibn Khaldun, seorang tokoh ilmuwan Islam berkata:  “Al-Quran adalah ilmu pertama yang dipelajari oleh anak-anak kerana mempelajari al-Quran adalah satu syiar agama yang dipelopori oleh orang-orang Islam di negeri-negeri mereka, kerana al-Quran yang menguatkan iman dan cara untuk mengasah kebolehan-kebolehan lain.”

Renunglah diri dan fahami kurniaan Allah SWT ini dengan sebaiknya.  Ibu bapa adalah contoh terbaik anak-anak.  Kemenjadian anak-anak dalam semua aspek duniawi dan ukhrawi adalah tanda kejayaan anda sebagai ibu bapa yang memikul amanah Tuhan Yang Maha Meninggi­kan Darjat (Al-Rafik).